KURSUS INTENSIF SIDANG AKADEMIK 2016/2017

 KURSUS INTENSIF SIDANG AKADEMIK 2016/2017

5500 ORANG PELAJAR PPPJJ BERKAMPUNG DI KAMPUS UNIVERSITI SAINS MALAYSIA

 

 

Bermula hari ini Selasa, 17 Januari 2017 hingga 9 Februari 2017, seramai kira-kira 5500 pelajar PPPJJ akan berada di kampus Universiti Sains Malaysia bagi menjalani pelbagai aktiviti akademik yang dirancang sepanjang tiga minggu mereka berada di sini. Aktiviti-aktiviti seperti  kuliah, kelas  amali serta Peperiksaan Berterusan merupakan antara aktiviti utama yang telah dijadualkan bagi memantapkan keseluruhan pembelajaran melalui Rancangan Pengajian Jarak Jauh ini.

 

Secara keseluruhan bilangan pelajar PPPJJ yang akan menghadiri  Kursus Intensif sidang ini ialah, Rancangan Pengajian Pengurusan 2152 orang pelajar, Sains Kemasyarakatan 1822, Sains 992 dan Sastera 534 orang pelajar. Daripada keseluruhan pelajar,  202 adalah pelajar dari  Sabah  dan 194  orang pelajar dari  Sarawak.

 

Seperti pada tahun-tahun lalu, kursus ini akan membawa pelajar jarak jauh merasai sepenuhnya  kehidupan sebagai mahasiswa universiti. Selama tiga minggu ini  pelajar di tempatkan di desasiswa-desasiswa dalam kampus dan terlibat sepenuhnya dengan pelbagai aktiviti pembelajaran. Pelajar akan menggunakan kesempatan berada dalam kampus untuk berjumpa para pensyarah, staf-staf pentadbiran PPPJJ mahupun staf di jabatan-jabatan berkenaan di dalam kampus,   mengunjungi perpustakaan, menjalani sesi-sesi perbincangan dan beramah mesra  sesama rakan-rakan seperjuangan yang selama ini terpisah jauh serta menyempurnakan pelbagai urusan akademik  mereka.

 

Kepada semua pelajar, warga PPPJJ mengucapkan syabas atas semangat yang ditunjukkan. Manfaatkan setiap saat sepanjang Kursus Intensif dengan azam dan kesungguhan yang tinggi. Selamat Menjalani Kursus Intensif dengan jayanya. 

Last modified: Tuesday, 17 January 2017, 1:42 PM