MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH KEPUJIAN UNIVERSITI DAN SIJIL DEKAN

Setinggi-tinggi  tahniah dan syabas diucapkan kepada pelajar PPPJJ yang telah mendapat kejayaan cemerlang pada Sidang Akademik 2015/2016 sehingga melayakkan mereka menerima Hadiah Kepujian Universiti serta Sijil Dekan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh. Mereka telah diraikan dalam Majlis  Penyampaian Hadiah Kepujian Universiti  dan Sijil Dekan yang telah berlangsung pada 17 Januari 2017 di Dewan Tuanku Syed Putra, USM. Seramai 11 orang pelajar merupakan penerima Hadiah Kepujian Universiti manakala  penerima Sijil Dekan pula ialah seramai 167 orang.

 

Hadiah Kepujian Universiti  diberikan kepada seorang calon terbaik untuk Tahun 1, 2, dan 3 dalam semua Rancangan Pengajian dengan PNG 3.5 ke atas dan mendaftar sekurang-kurangnya 20 unit pada Sidang Akademik tersebut. Penerima Hadiah Kepujian Universiti akan menerima RM500.00 dan Sijil daripada Universiti Sains Malaysia.

 

Manakala Sijil Dekan pula merupakan penghargaan  yang  diberikan kepada pelajar-pelajar RPJJ tahun 1,2, 3 dan 4 untuk semua rancangan pengajian yang mencapai PNG 3.5 ke atas dan mendaftar 20 unit pada Sidang Akademik tersebut.  Penerima akan memperoleh Sijil Dekan daripada Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh.

 

Majlis ini  turut dihadiri oleh staf pentadbiran  PPPJJ serta para pensyarah yang seharusnya berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar mereka.

 

Dalam ucapan alu-aluan,  Dekan PPPJJ,  Profesor Madya Dr. Mustafa Fadzil Farid Wajidi mengucapkan syabas dan tahniah atas kejayaan pelajar-pelajar ini  yang wajar dijadikan contoh kepada pelajar-pelajar PPPJJ yang lain.

 

Dekan turut menasihati semua pelajar PPPJJ  agar memanfaatkan Kursus Intensif dengan sebenar-benarnya demi memantapkan lagi pencapaian pembelajaran pelajar.

 

“Saudara-saudari merupakan pelajar yang matang. Oleh itu jagalah imej universiti walau di mana anda berada dan patuhi semua peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak universiti,” tambah beliau lagi.   

 

Warga PPPJJ mengucapkan syabas kepada para penerima anugerah. Teruskan pencapaian cemerlang anda. Semoga kejayaan anda turut dijadikan sumber inspirasi oleh pelajar lain untuk turut cemerlang pada masa-masa akan datang di sepanjang tempoh pengajian. 

Last modified: Friday, 20 January 2017, 9:56 AM